Saturday, 14 April 2012

Kasihku Pada Seorang Sahabat

Pastinya 2minggu lagi adalah waktu yang aku harap ia tidak akan datang. Perpisahan yang akan terjadi lagi antara dua sahabat. Perpisahan yang tiada janji untuk pertemuan seterusnya. Walau setinggi mana pun harapanku untuk mengelak semua ini terjadi, ia pasti akan terjadi. Ia pasti akan menyebabkan air mata ini mengalir kesedihan. Mengenangkan pertemuan pertama kami bukanlah sesuatu yang begitu pasti dalam ingatanku kerana ianya terjadi tanpa aku teliti masa dan waktu. Cuma yang aku tahu persahabatan kami bermula setelah seminggu pertemuan pertama. Bermakna 13 Julai akan datang akan menggenapkan 4tahun usia perkenalan. Sepanjang perkenalan ini, terlalu banyak suka duka yang kami lalui. Kami ketawa, menangis, bersama-sama. Dia tempat aku luahkan rasa setelah ketiadaan encik kekasih. Separuh dari hidupku telah aku sandarkan pada dia.
Ini adalah sahabatku. Temanku untuk bermanja dan bergaduh. Sahabat, aku sayang kamu dan kamu mengetahuinya. Mungkin kerana aku seorang yang menzahirkan rasa sayang menyebabkan ungkapan itu seringkali keluar dari mulutku. 2minggu akan datang kita akan berpisah. Mencari haluan yang berbeza untuk membina kerjaya. Aku akan bergerak dengan caraku, dan kau akan bergerak dengan caramu sendiri. Kisah hitam yang lepas menyebabkan aku makin takut untuk berpisah untuk kali ini. Mungkin kerana kedegilanku sendiri yang membuatkan aku terus membuat kesimpulan yang persahabatan kita akan menjadi sekeruh dulu. Aku takut kalau tiada lagi pertemuan selepas ini. Aku takut kalau tiada lagi gurau senda selepas ini. Aku takut kalau tiada lagi hubungan persahabatan antara kita selepas ini. Sahabat, seperti yang kau ketahui aku seorang yang sangat takut dengan perpisahan. Aku takut selepas perpisahan itu tiada lagi pertemuan. Aku takut kau juga pergi tinggalkan aku seperti encik kekasih. Sahabat, setelah setahun kau pergi kini kau kembali. Untuk masa sebulan ini aku rasakan sahabatku yang dulu telah kembali semula. Kalau kau tahu setahun yang lepas begitu menyakitkanku. Setahun yang lepas kau hilang tinggalkanku dalam aku mencari kekuatan diri. Sahabat, aku tahu kau tak akan selamanya bersamaku. Tapi aku mahu masa yang ada ini untuk sepenuhnya bersama kamu. Sahabat, tiada gambaran yang aku mampu tunjukkan untuk menyatakan rasa kasih ini. Cukuplah sekadar kau mengetahui yang kau adalah sahabat teristimewa dalam hidupku dan aku tak mahu ia berlalu pergi. Pengalaman suka duka kita bersama tidak akan pernah luput dalam ingatanku. Rasa sakit yang kau lalui turut aku rasai. Aku tahu kau sedang bersedih, namun aku biarkan kau sendiri tanpa sebarang pertanyaan kerana aku sentiasa ada bila kau perlukanku.

No comments:

Post a Comment