Tuesday, 1 April 2014

24

Hari ini 1 April 2014. Genap umur aku 24 tahun. Cepat masa berlalu sampai aku tak sedar begitu banyak masa yang aku bazirkan hanya kerana terlalu banyak mengejar mimpi yang tak sudah.

Tiba-tiba sayu hati saat aku menunaikan solat maghrib tadi. Tanpa sedar berlinang airmata mengenang bahawa aku patut bersyukur masih diberi peluang untuk melalui detik waktu sehingga ke hari ini. Rasa syukur yang tak terhingga bila mengenang kembali ujian yang pernah aku lalui beberapa bulan dulu. 2bulan tanpa nikmat sihat begitu menguji iman. Aku hilang kekuatan diri buat seketika. Tapi Tuhan itu begitu Pemurah. Dia kembalikan semula nikmat itu dan aku boleh berjalan seperti biasa.

Kehilangan si dia memeritkan. Aku akui, aku lemah. Aku terlalu sayang, aku terlalu berharap kebahagiaan itu menjadi milik aku tanpa aku sedar yang lukisan perjalanan hidup bukanlah ditangan aku. Aku bersyukur kenali dia. Sekurang-kurangnya aku belajar cara untuk lebih menghargai orang. Sekali lagi Tuhan berikan nikmat.

Pernah dulu kami menghadapi masalah keluarga. Bertahun lamanya. Kini alhamdulillah semua kembali seperti biasa. Malah aku rasa lebih baik dari dulu. Dan sekali lagi Tuhan berikan nikmat.

Aku pernah gagal. Bukan setakat gagal, tapi jatuh tersungkur. Masa tu aku tak nampak jalan untuk melangkah lebih jauh. Tapi rencana Tuhan itu sangat indah. Aku gagal dulu tapi alhamdulillah sekarang tidak. Sekali lagi Tuhan berikan nikmat.

Banyak yang aku lalui tapi nikmat Tuhan itu telah merubah segala yang negatif kepada yang positif. Tanpa sedar, dan sebenarnya kita memang selalu tak sedar akan setiap sedutan nafas ini merupakan satu nikmat. Kerap kita memikirkan sesuatu yang tak nampak dipandangan dan sering melupakan yang selalu ada di depan mata. Ok, itu memang manusia. Masa ada tak tau menghargai, dah takda baru tercari-cari.

Untuk umur yang ke-24 ini dan dengan izin Allah akan sampai ke-25, aku ada satu azam. Azam yang aku harap ini adalah satu petunjuk yang akan merubah kehidupan yang serba lagha ini kepada satu kehidupan yang lebih indah dan tenang. Semoga dengan angka 24 yang serba cantik ini akan dipenuhi dengan kehidupan yang lebih baik. Amin.

No comments:

Post a Comment